aku melihat di sekeliling, ramai orang sedang bergegas membawa bagasi masing-masing. berdasarkan pengalaman, bolehku agak aku berada di mana. lapangan terbang.
terdengar sorakan kegembiraan dari belakang, suara-suara itu…
badan dengan berat kupusing. bukan tak mahu, tapi hakikatnya aku segan. melihat kegembiraan dan senyuman di muka mereka, aku kuatkan semangat untuk senyum bersama mereka. realitinya aku gembira melihat mereka, tapi jiwa aku sakit. pedih. mereka datang kepadaku, tangan bersalam mesra. satu pelukan penuh rasa persahabatan kuberikan tanda bangga terhadap pencapaian mereka. melihat rakan yang dahulu pernah bersama dalam satu perjuangan berjaya dalam perjuangan mereka.
ku lihat di tangan kiriku, satu beg kecil kemas dipegang. milik kawanku yang dahulunya sangat rapat. segala masalah dikongsi, diluah padanya. mata tercari-cari empunya beg. aku gerakkan kaki laju ke balai berlepas. susuk tubuh yang sudah lama tidak kulihat sedang berdiri tidak jauh dari aku. aku gegaskan pergerakanku, laju menuju ke arahnya.
tanpa kusedar, aku terjatuh. beg yang kupegang tadi tercampak ke kakinya. dengan penuh kelembutan dia mengutip beg miliknya.
matanya memandang tepat ke arahku. satu soalan ditujukan tapi tidak didengari telingaku. soalan sama terus ditanya, kali ini kutajamkan pendengaran.
“sahabat, di mana sahabat?”
*tup
aku tersedar. aku bermimpi rupanya. melihat member katil sebelah tengah tidur nyenyak. perlahan tanganku bawa ke dada. pedih, ye pedih. dah lama aku tak bermimpi sebegini. kupejamkan mata, cuba mengingati kembali mimpi tadi sambil menguatkan semangat. beberapa minit kemudian, azan subuh kedengaran….